Kelas saham

Kelas saham

Kelas saham telah banyak diadakan sekarang. Dalam masa 6 bulan, ia berkembang sangat cepat. Ada yang sudah terkenal, ada yang belum terkenal. Paling merisaukan ialah mereka yang baru, tiada pengalaman, tiada track record untung sudah mula membuat kelas saham. Yang pasti, yuran untuk kelas saham bukanlah murah.

Antara tips-tips berdasarkan pengalaman saya ialah:

Pilih kelas yang serasi dengan kerjaya kita: Trader atau Investor

Sebenarnya agak sukar mengenali kelas saham yang paling berbaloi dengan bayaran dikenakan. Kadang-kala kelas saham tersebut memang bagus, tok guru yang mengajar pun bagus, track record tok guru pun untung sentiasa, testimoni anak murid berlambak-lambak. Tetapi kita masih belum untung. Penyebabnya ialah kita tidak mengamalkan sepenuhnya dan mematuhi pantang larang yang diajar oleh tok guru. Bak kata mentor jutawan, ikut jejak langkah orang berjaya, anda terpaksa berjaya. Kalau tak ikut sebijik-sebijik, agak sukar untuk mendapat keputusan yang sama dengan tok guru. Oleh itu, pastikan sebelum menghadiri kelas saham, tanyalah peserta yang telah pergi kelas tersebut, apakah ianya serasi dengan kerjaya kita dan masa yang perlu diluangkan. Kebanyakan kelas mengajar untuk menjadi trader bukan investor, maka ia tak sesuai dengan mereka yang sibuk bekerja sepanjang hari yang tidak ada masa untuk melihat laptop setiap masa.

Testimoni Untung

Bayangkan jika ada 2 orang tok guru saham. Tok Guru A dan Tok Guru B. Masing-masing sama terkenal dah hebat. Kaedah marketing kelas sahamnya pun bagus. Tok Guru A dan B mempunyai 100 orang anak murid. Seramai 50 orang anak murid Tok Guru A telah memberikan testimoni keuntungan yang diperolehi hasil didikan Tok Guru A. Manakala seramai 20 orang anak murid Tok Guru B telah memberikan testimoni untung. Kita mengandaikan bahawa semua testimoni adalah jujur. Secara umumnya, Tok Guru manakah yang perlu di pilih? Sudah pasti Tok Guru A yang perlu dipilih.

(p/s: testimoni rugi tidak pernah dilakukan dalam dunia bisnes)

Isi kandungan kelas / seminar saham

Tok guru saham mempunyai pendekatan yang berbeza. Tetapi ilmu teknikal analisis yang diajar adalah lebih kurang sama sahaja. Akan tetapi, perbezaan pendekatan itu perlu diteliti. Adakah kaedah yang diajar itu mudah difahami, kenapakah beliau menggunakan pendekatan itu. Cuba teliti sebab dan penjelasan disebalik konsep yang diajar. Contohnya ialah:

Kenapa majoriti orang rugi apabila beli saham;

Saya menyukai penjelasan ini: Ramai yang rugi kerana membeli saham-saham dipuncak-puncak kenaikan. Yang membeli di awal trend akan untung.

Kenapa ramai kaki kontra akan tersungkur?

Kerana kaunter sindiket akan menekan harga pada T+3 menyebabkan forced selling berlaku

Kerana emosi pelabur tergugat, mungkin kerana sebab di atas, mereka terpaksa cut loss.

Kerana kebanyakan kaki kontra bermain dengan harga-harga dipucuk-pucuk

Jika saya membuat keputusan untuk menghadiri sebarang kursus, saya akan bertanya diri saya. Apakah konsep yang mahu diperkenalkan dan penjelasan logik disebaliknya. Selepas itu saya akan membuat sedikit pertanyaan kepada anak-anak murid yang telah menghadirinya. Kalau nak tanya anak-anak muridnya, pilihlah yang nampak cerdik sedikit. Kerana terdapat anak murid yang pergi dengan zero knowledge tentang saham. Anak murid macam ni tidak dapat memberikan gambaran yang jelas tentang kelas saham.

Lesen saham

Saya suka melihat profil penceramah, mereka perlu telus tentang kredibiliti mereka. Ini kerana kita membayar untuk mendengar ilmu mereka. Jika mereka mempunyai lesen remiser dan tauliah yang sewajarnya, maka kelas mereka adalah berbaloi. Jika tiada lesen, sebaiknya dijauhkan kelas saham mereka.

Makan minum dan nota

Kelas saham adalah berbentuk teknikal. Jika tiada nota yang lengkap, maka lupakanlah kelas tersebut.  Agak sukar bagi mereka yang baru bermula (newbies), untuk belajar teknikal analisis tanpa nota. Nota itu penting, kerana disitulah bermula asasnya untuk belajar saham. Untuk menjamin kaedah yang konsisten, maka anak murid perlu rujuk kepada nota. Takkan nota tak dapat disediakan, paling kurang dalam bentuk softcopy. Sudah la bayar beribu-ribu, nota photostat hitam putih pun tak dapat disediakan. Nota juga petanda ilmu yang diajar itu sudah solid atau tidak. Kerana dari penulisan nota, ringkasan dan penjelasan yang dibuat dalam nota, maka sudah pasti kita boleh menilai sejauh mana pengalaman dan pemahaman tok guru. Nota juga merupakan terjemahan pengalaman dan pemahaman tok guru untuk anak murid.

Tentang makan & minum, kalau tak disediakan. Maka yuran sepatutnya lebih murah. Setakat ini kelas saham saya hadiri menyediakan makan dan minum yang enak-enak. Alhamdulillah.

Jangka masa kelas dan harga yuran

Survey dulu harga kelas saham yang ada dipasaran. Kalau mahal, pastikan sebab apa mahal. Kalau murah pastikan sebab apa murah. Mahal tidak semestinya bagus, murah tidak semestinya tidak bagus. Paling malang ialah mahal tapi tak bagus, murah tapi tak bagus.

Biasanya harga kelas saham ialah sekitar RM2000 untuk kelas berlangsung selama 2 hari.

Bagi yang kelas sehari, saya rasa harga berpatutan ialah RM1000 kebawah (dengan syarat nota, makan minum disediakan).

Kalau kelas introduction / pengenalan, lagi murah lagi bagus sekitar RM50-100. Biasanya jangka masa selama 2 jam sehingga setengah hari. Kelas pengenalan sangat penting dihadiri sebelum kita meleburkan duit untuk kelas advance. Kerana dari situ kita boleh mendapat overview kelas advance yang dilaksanakan. Kelas pengenalan ini adalah ibarat “trailer” untuk sesuatu filem. Kalau trailer menarik, maka berbaloilah untuk pergi kelas seterusnya.

Carian google

Ini juga boleh membantu kita, cuba taip nama “tok guru, scam/penipu” kat google. Cuba lihat ada ke tidak orang yang melaporkan secara jujur dengan bukti yang jelas kelas tersebut scam. Kalau seorang dua jangan terus percaya, tapi kalau dah berlambak-lambak laporan dibuat, maka berhati-hatilah.

Cuba lihat dalam sejarah google, sudah berapa lamakah tok guru tersebut sudah berkecimpung dalam saham, menyumbang penulisan dalam blog, memberi info percuma. Semua itu adalah penambah nilai kepada tok guru tersebut.

Kelas Live Trading

Lazimnya live trading dilakukan pada hari bekerja. Ini adalah antara kelas paling mencabar untuk dilakukan oleh kebanyakan tok guru. Sebab utama saya rasa ialah risiko jumlah kehadiran peserta adalah minimum kerana komitmen kerja di hari bekerja. Tetapi kelebihan kelas live trading ialah tok guru boleh menunjukkan aksi secara live segala buah silat keramatnya. Dari situ, kita boleh menilai kehebatan tok guru tersebut. Tetapi perlu diingat, untung atau rugi sewaktu kelas tersebut juga bukan jaminan untung berterusan selepasnya. Banyak faktor boleh mempengaruhi untung rugi termasuklah buy call yang dibuat.

Support Group

Setakat ini, semua kelas saham ada mempunyai facebook support group. Bagi saya ia sangat penting kerana pembelajaran selama 2 hari tidak menjamin untung / kejayaan. Pembelajaran kadang kala perlu berterusan selama berbulan-bulan sehinggalah anak murid tersebut boleh membuat “fatwa” sendiri kaunter manakah yang bagus dibeli. Adalah mustahil dengan kelas 2 hari, anak murid boleh membuat keputusan kaunter mana yang bagus atau tidak. Mereka perlukan bimbingan dari tok guru untuk menegur dan berkongsi pendapat. Pengalaman tok guru juga penting. Selain itu, dalam facebook group, kita boleh melihat kebenaran buy call yang dibuat oleh tok guru. Dari post-post yang lepas dalam facebook group, kita tahu bahawa kaunter-kaunter yang dipilih oleh tok guru ialah tepat atau tidak. Tetapi jangan mengharap semua kaunter adalah 100% konfirm untung. Tok guru juga meramal berdasarkan ilmu technical analysis dan fundamental analysis. Yang penting majoriti ramalan tepat, bukannya rugi memanjang.

Setakat itulah dulu pendapat saya tentang kelas saham. Tidak semua pendapat saya ini 100% betul, mungkin ada yang tersilap. Kerana saya tidak menghadiri semua kelas yang ada di luar sana. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya memilih dan meneliti sebelum memasuki sesuatu kelas.  Lain orang lain pengalaman. Yang penting kita semua dapat untung memanjang. Itulah sebenarnya matlamat utama jual beli / main saham.

Semoga bermanfaat.