Kelas Asas Teknikal Analisis

Kelas Asas Teknikal Analisis

Walaupun saya berazam untuk tidak lagi pergi ke kelas…

Akhirnya saya pergi juga hehehe.

Kerana diri masih merasakan tidak cukup ilmu. Ilmu terpenting bagi saya ialah untuk menjawab persoalan “Bagaimana nak pilih kaunter, tepat, cepat naik, cepat untung, kerja minimum, kos paling rendah?”.

Apakah yang membuatkan saya tertarik dengan kelas ini? Sebenarnya saya sudah mengikuti channel technical trader beberapa bulan yang lepas. Saya melihat kaunter-kaunter yang dipostkan dalam channel telegram. Saya juga menonton video kaedah pemilihan kaunter saham mereka. Yang paling menarik perhatian saya ialah kaedah pemilihan kaunter yang mereka ajar adalah menggunakan perisian percuma. Maka, newbies yang baru bermula tidak perlu menggunakan software berbayar untuk bermula. Kebetulan ada sedikit promosi harga kelas itu.

Kelas tersebut agak membosankan, kerana mereka mengajar tentang perkara sangat asas. Hatta, nak lukis candlestick pun diajar. Tiada sebarang indicator diajar, kerana ia dicover dalam kelas advance. Pun begitu, saya merasakan penekanan mereka dalam kelas ini tentang 4 perkara asas iaitu :

  1. Trend kaunter 
  2. Support and Resistance
  3. Risk Reward Ratio
  4. Entry technique

Penekanan diberikan cukup bagus. Penjelasan juga simple dan mudah difahami. Ia sebenarnya menambahkan keyakinan saya untuk entry dengan lebih baik.

Pemilihan kaunter yang saya lakukan sebelum ini lebih kepada top gainer (sesuai untuk breakout & momentum trader). Tetapi saya penat untuk analisa hampir 40 kaunter top gainer setiap malam. Ditambah pula dengan keadaan market yang masih dalam sideway, maka teknik breakout trading adalah tidak sesuai. Kerana market masih lemau, sentimen tidak cukup kuat untuk push market kearah lebih tinggi. Tidak ramai trader / investor yang masuk market. Jadi teknik yang saya rasa lebih sesuai ialah buy on support, buy on retracement (jatuh kat support).

Pemilihan diajar dalam kelas ini adalah berdasarkan top active counters (top volume). Kemudian kaunter-kaunter tersebut boleh difilter di dalam microsoft excel berdasarkan:

  1. Harga: RM0.20 – RM0.80
  2. Volume > 20 000
  3. Filter out segala jenis warant
  4. Syariah compliant
  5. Hanya 5 page pertama top active counter kat website Bursa Malaysia 

Dengan menggunakan kaedah ini, jumlah kaunter yang perlu dianalisa hanyalah sedikit sahaja, tak sampai 20 kaunter. Dari senarai 20 kaunter tu, hanya beberapa kaunter sahaja yang perlu diperhatikan. Dan ia menjimatkan masa. Analisa dilakukan dengan menggunakan perisian Chartnexus yang boleh di download percuma.

Pemilihan kaunter seperti ini lebih bersifat short term kerana ia mempunyai volume & aktif. Tetapi jika anda ingin mencari kaunter yang baru bermula untuk naik (bottom fishing) maka perlu menggunakan screener dalam pakej ebook SISD. Kerana kaunter yang terlalu oversold sukar dikesan melalui top active counter.

Adakah berkesan teknik yang diajar?

Ya berkesan. Penganjur kelas ini juga hebat kerana ada kelas yang mereka buat pada hari bekerja + live trading. Live trading ni jarang-jarang boleh dibuat kecuali sifu-sifu yang betul-betul yakin dengan teknik pemilihan kaunter mereka dan juga kaedah entry mereka. Kaedah pembelajaran mereka juga serasi dengan jiwa saya yang malas membuat fundamental analisis (FA).

Kesimpulan: 

  1. Kelas ini sangat berguna kepada saya ia memberi penekanan kepada perkara asas dalam trading saham.
  2. Penekanan diberikan 100% hanya pada Technical Analysis. Tiada unsur-unsur fundamental analisis.
  3. Kaedah pemilihan kaunter adalah menggunakan tools percuma (website bursamalaysia, microsoft excel, perisian chartnexus) dan sangat sesuai untuk segala newbies trader yang mahu bermula dengan modal yang kecil.
  4. Entry yang diajar adalah cukup simple. Jika anda faham betul-betul dan ikut apa diajar, saya yakin peratus winning rate yang tinggi boleh dicapai dalam trading saham.
  5. Harga kelas untuk satu hari agak berbaloi. Cuma tiada nota diberikan & juga tiada makanan disediakan (minuman ada – air mineral).
  6. Group support agak sederhana. Tapi channel pun dah bagus.
  7. Rating saya berikan ialah 4/5 untuk kelas ini dengan fokus kepada isi pembelajaran yang diajar + matlamat yang saya ingin dicapai.

Sekian, terima kasih.

Jurus Tertinggi Ilmu Saham

Jurus Tertinggi Ilmu Saham

 

Tidak dinafikan terdapat banyak teknik di pasaran. Sekarang market tengah naik, maka kelas saham mula subur tumbuh ibarat cendawan. Bila market merah, ramai menonggeng rugi, maka kelas saham senyap sedikit. Tak salah pun nak buat kelas. Bertambahnya kelas bermakna market saham akan lebih rancak kerana ramai mula memasuki pasaran saham. Maka mangsa-mangsa menjadi bertambah. Sindiket pun suka jika ramai retailer masuk.

Apa pun, apabila mula belajar saham, kita sudah pasti mencari-cari ilmu terhebat. Jurus paling mudah, dan konfirm buat untung. Usah kata newbie, tok guru yang lama pun masih lagi ingin mencari teknik “holy grail”. Hakikatnya, tok guru dan sifu tidak nafikan, bahawa bukan teknik terhebat yang penting. Paling penting ialah kawalan emosi dan money management. Tapi kalau takde cut loss, emosi masih boleh dikawal, tu bukannya bagus, tu petanda tenat.

Saya masih lagi dalam proses belajar. Mencari teknik lebih simple, tak memeningkan kepala.

Saya mencari teknik yang lebih serasi dan sesuai dengan profil kerjaya saya yang agak sibuk.

Saya tidak mahu mencari fulltime trader, yang kerjanya menatap monitor setiap saat. Silap-silap nanti boleh sakit jantung.

Berdasarkan pembacaan saya dan juga perjumpaan dengan rakan-rakan seperjuangan berlainan “mazhab”.

  1. Teknik saham sebenarnya mempunyai tujuan yang sama, tetapi berbeza timeframe. Jika anda merupakan midterm dan long term trader, maka daily timeframe adalah lebih dari mencukupi. Tetapi jika anda mahu menjadi short term dan intraday trader, maka timeframe lebih pendek seperti 4H, 1H, 30-min, 5-min, dan mungkin 1-min.
  2. Antara ilmu intraday trader hingga short term (kontra) ialah TAVA. Setupnya lebih kepada melihat indicator seperti Moving Average, MACD, etc. Candle tak nampak sangat sifatnya untuk intraday. Sifu Don Trader juga ada menggunakan teknik short term. Begitu juga kaizen trader. Tetapi saya nasihatkan, jika mahu membuat urusniaga singkat dalam saham, mahirkan dahulu long term. Biasanya short term trader ni meletihkan dan lebih berisiko. Kecuali sudah mahir. Yang peliknya, bila dah mahir, akan beralih ke long term trader, sebab lebih untung dan kurang meletihkan.
  3. Untuk midterm trader dan long term. Maka banyak teknik boleh digunakan, seperti aliran mazhab Wyckoff Method, Ichimoku trader, Heikin Ashi, Teknik Pengumpulan Don Trader, Teknik Zamsaham, dan teknik Naked Chart dan macam-macam lagi.
  4. Hakikatnya semua ilmu sama sahaja matlamatnya, iaitu buat untung. Maka adalah membuang masa bertelagah dan memperlecehkan ilmu orang lain. Yang penting duit kita berkembang bukan menyusut.
  5. Walaupun 1001 teknik telah muncul, tetapi tiada istilah teknik terbaru sebenarnya. Yang terbaru bermakna orang tu baru tahu, sedangkan seluruh dunia dah tahu.
  6. Semua 1001 teknik melihat carta saham yang sama. Akhirnya kesimpulan tetap sama iaitu nak beli atau nak jual, kat mana nak beli dan kat mana nak jual. Cuma yang berbeza, siapa masuk awal dengan tepat dan keluar dengan tepat maka akan untung. Masing-masing kena redha dengan rezeki masing-masing.
  7. Konsep Asas dalam Teknikal Analisis saham ialah: 
    • Kenalpasti TREND – beli pada permulaan uptrend. Orang kurang siuman akan beli pada permulaan downtrend.
    • Kenalpasti JENIS ENTRY – sauk dari bawah, buy on dip, pattern breakout dan macam-macam lagi. Kalau tak tahu banyak teknik, berpegang teguh pada satu teknik pun cukup dah. Seperti Golden Zamcross. Memang mantop.
    • Kenalpasti SUPPORT DAN RESISTANCE / SUPPLY DAN DEMAND zone – kalau tak berjaya kenalpasti S&R / S&D, boleh ucap selamat tinggal kat dunia saham. Konfirm akan rugi.
    • Kenalpasti ENTRY POINT dan EXIT POINT – bab kat sifu zamsaham, emergency exit kena tahu kat mana.
    • Kira RISK REWARD RATIO – jika entry, berapa potensi untung dibanding dengan potensi rugi. Jika potensi rugi melebihi 4%, baik tak payah masuk. Cari kaunter lain.
    • Jangan labur / lebur semua duit, kena ada duit buffer. Teknik money management di ajar dalam TAVA dan juga sifu USB. Paling banyak laburkan 80% dari duit yang diletakkan untuk main saham. 20% tu dikira buffer.
    • STOPLOSS itu wajib. Jangan sesekali mengamalkan HOPE ANALYSIS. Jangan tunggu sifu buat announcement kena cut loss. Jika tak pandai cut loss, boleh laa pencen awal dunia saham.
  8. Ilmu Elliott Wave juga penting, tetapi sampai sekarang saya tak paham-paham kaedah counting wave. Ianya bersifat prediktif, boleh ramal saamada trend sudah berakhir atau tidak. Oleh itu penting untuk tahu TREND BERMULA atau BERAKHIR. Supaya tidak menjadi pembeli monyet yang tidak dapat dijual. Tidak semestinya ilmu elliott wave sahaja boleh meramal, kaedah wyckoff method pun di ajar signal “SOS” – sign of strength, dan SOW – sign of weakness dalam menilai trend. Ilmu berbeza, tetapi matlamat sama.
  9. Ilmu saham ini perlu 2 aspek yang kita perlu mahir. Satu aspek ialah teknikal analisis yang mengandungi 1001 Jurus Teknikal Analisis Alam Semesta. Aspek kedua sangat-sangat penting ialah “teknik pemilihan kaunter”. Jika aspek pertama hebat menggunung sekalipun, jika tersilap pilih kaunter memang ke longkang juga jawabnya.
    • “Teknik Pemilihan Kaunter” ini jarang di ajar dalam kelas-kelas saham. Jika ada sekalipun, ia berbeza-beza dari sifu-sifu dan tok guru yang berlainan. Ada yang jenis sauk dari bawah (bottom fishing), beli dan simpan sampai berkulat. Samaada untung atau rugi. Ada yang beli waktu ia retrace (buy on dip). Ada yang beli “buy on breakout”. Ada yang beli ikut pattern seperti ajaran Dan Zanger. Ada yang buy on support sell on resistant. Ada yang beli kat demand dan jual kat supply zone. Pokoknya teknik semua tu betul asalkan untung. Jika rugi, bukan teknik yang salah, pengamal teknik yang salah sebenarnya.
    • Salah satu ebook terbaik dan terkini (up to date) ialah ditulis oleh Tuan Saadnudin Syawal iaitu Saham Itu Seni Duit. Ebook ni saya promosi ajo, tiada komisen pun. Saya sudah beli ebook ini. Dalam ebook ini, di ajar menggunakan scanner J-stock yang percuma, dan menggunakan software charting percuma chartnexus. Dalam ebook tersebut, diajar teknik menggunakan scanner, untuk memilih kaunter-kaunter yang berpotensi mengikut jenis entry seperti bottom fishing. Saya sangat tertarik dengan teknik yang diajar, kerana ia lebih sistematik. Cuma dalam ebook tersebut, tidak disebut detail tentang money management, risk-reward-ratio, dan cut loss. Apa pun, ia sangat-sangat bagus dalam memilih kaunter. Selebihnya, gunalah indikator-indikator setup yang diajar oleh tok guru masing-masing bagi menilai entry terbaik untuk kaunter yang dipilih.
    • Satu lagi ebook yang mula terbit ialah tulisan oleh Tuan Alwi Adam. Ianya sangat sesuai untuk newbie. Silibus penulisan juga merangkumi teknik pemilihan kaunter. Ini saya suka, apa sahaja kelas ajar ilmu teknikal analisis sepatutnya ajar kaedah pemilihan kaunter. Narrow down kaunter berpontensi. Tak semua orang boleh beli ratus-ratus kaunter tu. Bila narrow down, dan spesifikkan entry, barulah anak murid boleh berdikari. Tuan Alwi menggunakan pendekat Wyckoff Method dalam dalam kelasnya. Yelah, takkan nak tulis semuanya dalam satu buku. Paling kurang kena buat kelas juga. Jadi jika anda berminat dengan Wyckoff Method boleh la register kelasnya di sini. Teknik Wyckoff method ini adalah sama seperti dalam ebook Anna Coulling yang saya jelaskan sebelum ini. Tetapi ia lebih spesifik pada market malaysia.
  10. Lagi simple ilmu TA adalah lagi baik sebenarnya. Ini kerana, contohnya ada 20 kaunter berdasarkan scanner yang kita perlu analisa. Jika teknikal analisis setup menggunakan 15 indicator, maka cuba bayangkan berapa jam nak habis analisa 20 kaunter tu. Tup tup terbeli yang rugi. Adeh sakit hati jawabnya. Sebab itu, saya secara peribadi menyukai indicator Ichimoku Kinko Hyo, kerana ia bersifat visual. Buka ajo indicator tu, sudah tahu kat mana S&R, boleh pilih jenis entry weak, strong, neutral. Dan terus boleh tahu kat mana emergency exit. Indicator ni memudahkan untuk kita scan secara visual kaunter yang sudah dipilih. Jimatkan masa dan kurangkan pening kepala. Setakat ini indicator Ichimoku ni sesuai digabungkan dengan ilmu candlestick, dan sesuai untuk semua jenis market.

Setakat itu sahaja dulu. Insya Allah cuba menulis sedikit tentang ilmu teknikal analisis. Tetapi untuk lebih detail, saya cadangkan pilih kelas-kelas yang berkualiti, padan BERBALOI dengan harganya ditawarkan, good after class support. Supaya proses pembelajaran berterusan berlaku. Mana-mana kelas pun ok, asalkan mereka berpegang teguh pada konsep asas di atas. Untuk fundamental analisis pula, saya secara peribadi tidak percaya kerana banyak kaunter FA tidak selari dengan TA. Tetapi TA bergerak lebih laju dan terkedepan berbanding FA.

Sekian.

traders

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya ada menerima beberapa email bertanyakan tentang kelas terakhir yang saya telah hadiri.

Saya telah memohon izin sifu tersebut untuk meletakkan nombor contact beliau di sini jika sesiapa berminat untuk menghadiri kelasnya. Beliau adalah Encik Kamarudin, dari Kota Kinabalu Sabah, boleh dihubungi melalui telegram dengan username: @USAHAWANSAHAMBURSA – 014-8603724

KENALI APAKAH JENIS TRADER YANG ANDA MAHU?

Kalau lihat dalam website investopedia, ia akan mengklasifikasikan trader kepada beberapa jenis. Setelah dibaca, maka kepeningan akan berlaku. Ya, secara formal, banyak istilah trader seperti swing, day trader, scalper, position dan long term.

Oleh kerana saya bukanlah pemegang sijil rasmi MSTA seumpamanya, maka saya tidaklah tahu bahkan jahil dengan istilah-istilah yang hebat ini.

Apa pun, menurut kefahaman saya, jenis-jenis trader yang saya perhatikan ialah:

  1. Intraday : Jenis trader macam ni adalah jenis yang nak untung cepat, modal besar. Dapat kenaikan 1-2 bid mereka akan lari. Fokus utama mereka ialah penny stocks yang harga bawah 70 sen. Ada juga yang beli harga atas 70 sen. Biasanya jenis macam ni jarang boleh buat untung besar. Mereka ni fokus mahu dapatkan income secara harian. Akan tetapi, kebanyakan sifu-sifu saham TIDAK galakkan intraday trading, kerana ia sangat berisiko. Jika anda menggunakan margin (duit hutang) maka bersedialah untuk hangus duit pelaburan sekelip mata. Mungkin benarlah kata-kata orang tua dulu, ada yang gila main saham. Kebanyakan intraday trader adalah full time trader dan mata mereka melekat 3 inci kat laptop skrin.
  2. Kaki Kontra: Kaki kontra juga adalah fast in and out (FIFO) trader. Mereka beli dan jual sebelum berlaku force selling, bergantung pada investment bank. Mereka juga kerap guna margin, maka mengikut kata zamsaham, kaki kontra ni cepat bungkus. Mengikut sifu terakhir saya, kaki kontra ni merempit kat pasaran saham. Biasanya banyak berlaku eksiden dan cedera parah.
  3. Swing Trader: Trader jenis ni membeli mengikut trend ( atau nama glamer trend follower). Mereka beli apabila permulaan trend, beli pada pullback / retracement / breakout dan menjual apabila trend berakhir. Mereka beli dan simpan untuk jangka masa tertentu. Tetapi swing trader tak simpan sampai berbulan-bulan. Biasanya dalam 2 minggu hingga sebulan sahaja. Untung mereka sebenarnya lebih besar dan kurang letih kerjanya. Jenis trader ini sesuai untuk mereka yang bekerja yang tidak sibuk. 
  4. Investor: Trader jenis ni beli dan simpan buat bodoh. Biasanya anak murid zamsaham mengamalkan kaedah ini. Beli permulaan trend dan jual akhir trend. Apa yang paling bahaya ialah jika tidak mengamalkan emergency exit / Stop loss / Cut loss policy. Jika harga pecah support maka ramai masih simpan sehingga harga sudah jatuh sampai ke longkang. Ada juga yang jenis tidak tahu nak ambil untung (Take Profit), dan masih menunggu mengharap sampai untung 100%. Jika terbeli harga lantai tidak mengapa, tetapi jika terbeli harga tengah-tengah, maka parah jawabnya. Jenis trader ini sesuai untuk kebanyakan orang bekerja yang sibuk tetapi ada hati nak main saham.

Kenapa perlu tahu jenis trader saham? Apa pentingnya?

Tidak dinafikan, semua yang minat dengan saham, bercita-cita nak jadi FTT (full time trader). Oleh itu, ramai yang suka masuk keluar pasaran saham dengan kerap setiap hari. Ini sebenarnya hanya menguntungkan remiser. Remiser tersenyum apabila setiap hari komisen masuk ke dalam akaun mereka tanpa perlu bekerja keras.

Hakikatnya, kaki rempit di pasaran saham adalah mereka yang banyak terkorban. Terlalu kerap masuk keluar pasaran saham akan menyebabkan ketagihan. Sedangkan market bukannya sentiasa sihat. Ada hari dan bulan ia bercuti dan melakukan correction minor atau major. Jika berlaku correction major dan menjadi bearish, maka kebanyakan pelabur asing dan institusi keluar dari pasaran. Maka pasaran tidak bertenaga. Banyak kaunter jatuh tersungkur. Pada waktu inilah jerung-jerung sindiket akan menunggu harga jatuh ke lantai untuk dikutip. Akan Sedangkan ramai orang awam terkorban kerana mereka membeli harga pucuk. Itulah hakikat pasaran saham, anda untung, sudah pasti di sana ada yang rugi. Yang pasti jerung sindiket tidak pernah rugi, mereka sememangnya sentiasa untung. Orang awam (retailer investor) adalah lauk pauk jerung ini. Oleh itu, adalah penting untuk memahami kitaran saham yang dinyatakan dalam buku Anna Coulling – Volume Price Analysis yang saya sebut dalam post sebelum ini.

Oleh itu, sebelum memilih kelas, pastikan anda tahu apakah jenis sifu / tok guru saham tersebut. Jika zamsaham terkenal dengan jenis investor trader, maka jangan pula pergi belajar dengan dia untuk menjadi scalper trader.

Guru terakhir saya ialah swing trader / momentum trader. Beliau membeli kaunter yang mahal-mahal minimum 0.70 sen ke atas. Kaunter yang dibeli hanyalah kaunter bertenaga untuk naik dan mempunyai volume yang cukup kuat. Secara peribadi, saya merasakan kaedah beliau adalah sesuai untuk mereka yang bekerja tetapi tidak sibuk.

Saya telah meletakkan azam dan janji pada diri, NO KONTRA, NO SCALPER, NO INTRADAY, Minimum Capital. Expand dahulu modal yang ada sehingga mahir. Untuk berjaya bukannya overnight process, tetapi long term learning. Bab kata kawan saya ” Ilmu teknikal saham ini luas, ibarat lautan lagi menyelam lagi banyak perkara yang kita tidak ketahui sebenarnya”.

Sekian.

Kelas saham

Kelas saham

Kelas saham telah banyak diadakan sekarang. Dalam masa 6 bulan, ia berkembang sangat cepat. Ada yang sudah terkenal, ada yang belum terkenal. Paling merisaukan ialah mereka yang baru, tiada pengalaman, tiada track record untung sudah mula membuat kelas saham. Yang pasti, yuran untuk kelas saham bukanlah murah.

Antara tips-tips berdasarkan pengalaman saya ialah:

Pilih kelas yang serasi dengan kerjaya kita: Trader atau Investor

Sebenarnya agak sukar mengenali kelas saham yang paling berbaloi dengan bayaran dikenakan. Kadang-kala kelas saham tersebut memang bagus, tok guru yang mengajar pun bagus, track record tok guru pun untung sentiasa, testimoni anak murid berlambak-lambak. Tetapi kita masih belum untung. Penyebabnya ialah kita tidak mengamalkan sepenuhnya dan mematuhi pantang larang yang diajar oleh tok guru. Bak kata mentor jutawan, ikut jejak langkah orang berjaya, anda terpaksa berjaya. Kalau tak ikut sebijik-sebijik, agak sukar untuk mendapat keputusan yang sama dengan tok guru. Oleh itu, pastikan sebelum menghadiri kelas saham, tanyalah peserta yang telah pergi kelas tersebut, apakah ianya serasi dengan kerjaya kita dan masa yang perlu diluangkan. Kebanyakan kelas mengajar untuk menjadi trader bukan investor, maka ia tak sesuai dengan mereka yang sibuk bekerja sepanjang hari yang tidak ada masa untuk melihat laptop setiap masa.

Testimoni Untung

Bayangkan jika ada 2 orang tok guru saham. Tok Guru A dan Tok Guru B. Masing-masing sama terkenal dah hebat. Kaedah marketing kelas sahamnya pun bagus. Tok Guru A dan B mempunyai 100 orang anak murid. Seramai 50 orang anak murid Tok Guru A telah memberikan testimoni keuntungan yang diperolehi hasil didikan Tok Guru A. Manakala seramai 20 orang anak murid Tok Guru B telah memberikan testimoni untung. Kita mengandaikan bahawa semua testimoni adalah jujur. Secara umumnya, Tok Guru manakah yang perlu di pilih? Sudah pasti Tok Guru A yang perlu dipilih.

(p/s: testimoni rugi tidak pernah dilakukan dalam dunia bisnes)

Isi kandungan kelas / seminar saham

Tok guru saham mempunyai pendekatan yang berbeza. Tetapi ilmu teknikal analisis yang diajar adalah lebih kurang sama sahaja. Akan tetapi, perbezaan pendekatan itu perlu diteliti. Adakah kaedah yang diajar itu mudah difahami, kenapakah beliau menggunakan pendekatan itu. Cuba teliti sebab dan penjelasan disebalik konsep yang diajar. Contohnya ialah:

Kenapa majoriti orang rugi apabila beli saham;

Saya menyukai penjelasan ini: Ramai yang rugi kerana membeli saham-saham dipuncak-puncak kenaikan. Yang membeli di awal trend akan untung.

Kenapa ramai kaki kontra akan tersungkur?

Kerana kaunter sindiket akan menekan harga pada T+3 menyebabkan forced selling berlaku

Kerana emosi pelabur tergugat, mungkin kerana sebab di atas, mereka terpaksa cut loss.

Kerana kebanyakan kaki kontra bermain dengan harga-harga dipucuk-pucuk

Jika saya membuat keputusan untuk menghadiri sebarang kursus, saya akan bertanya diri saya. Apakah konsep yang mahu diperkenalkan dan penjelasan logik disebaliknya. Selepas itu saya akan membuat sedikit pertanyaan kepada anak-anak murid yang telah menghadirinya. Kalau nak tanya anak-anak muridnya, pilihlah yang nampak cerdik sedikit. Kerana terdapat anak murid yang pergi dengan zero knowledge tentang saham. Anak murid macam ni tidak dapat memberikan gambaran yang jelas tentang kelas saham.

Lesen saham

Saya suka melihat profil penceramah, mereka perlu telus tentang kredibiliti mereka. Ini kerana kita membayar untuk mendengar ilmu mereka. Jika mereka mempunyai lesen remiser dan tauliah yang sewajarnya, maka kelas mereka adalah berbaloi. Jika tiada lesen, sebaiknya dijauhkan kelas saham mereka.

Makan minum dan nota

Kelas saham adalah berbentuk teknikal. Jika tiada nota yang lengkap, maka lupakanlah kelas tersebut.  Agak sukar bagi mereka yang baru bermula (newbies), untuk belajar teknikal analisis tanpa nota. Nota itu penting, kerana disitulah bermula asasnya untuk belajar saham. Untuk menjamin kaedah yang konsisten, maka anak murid perlu rujuk kepada nota. Takkan nota tak dapat disediakan, paling kurang dalam bentuk softcopy. Sudah la bayar beribu-ribu, nota photostat hitam putih pun tak dapat disediakan. Nota juga petanda ilmu yang diajar itu sudah solid atau tidak. Kerana dari penulisan nota, ringkasan dan penjelasan yang dibuat dalam nota, maka sudah pasti kita boleh menilai sejauh mana pengalaman dan pemahaman tok guru. Nota juga merupakan terjemahan pengalaman dan pemahaman tok guru untuk anak murid.

Tentang makan & minum, kalau tak disediakan. Maka yuran sepatutnya lebih murah. Setakat ini kelas saham saya hadiri menyediakan makan dan minum yang enak-enak. Alhamdulillah.

Jangka masa kelas dan harga yuran

Survey dulu harga kelas saham yang ada dipasaran. Kalau mahal, pastikan sebab apa mahal. Kalau murah pastikan sebab apa murah. Mahal tidak semestinya bagus, murah tidak semestinya tidak bagus. Paling malang ialah mahal tapi tak bagus, murah tapi tak bagus.

Biasanya harga kelas saham ialah sekitar RM2000 untuk kelas berlangsung selama 2 hari.

Bagi yang kelas sehari, saya rasa harga berpatutan ialah RM1000 kebawah (dengan syarat nota, makan minum disediakan).

Kalau kelas introduction / pengenalan, lagi murah lagi bagus sekitar RM50-100. Biasanya jangka masa selama 2 jam sehingga setengah hari. Kelas pengenalan sangat penting dihadiri sebelum kita meleburkan duit untuk kelas advance. Kerana dari situ kita boleh mendapat overview kelas advance yang dilaksanakan. Kelas pengenalan ini adalah ibarat “trailer” untuk sesuatu filem. Kalau trailer menarik, maka berbaloilah untuk pergi kelas seterusnya.

Carian google

Ini juga boleh membantu kita, cuba taip nama “tok guru, scam/penipu” kat google. Cuba lihat ada ke tidak orang yang melaporkan secara jujur dengan bukti yang jelas kelas tersebut scam. Kalau seorang dua jangan terus percaya, tapi kalau dah berlambak-lambak laporan dibuat, maka berhati-hatilah.

Cuba lihat dalam sejarah google, sudah berapa lamakah tok guru tersebut sudah berkecimpung dalam saham, menyumbang penulisan dalam blog, memberi info percuma. Semua itu adalah penambah nilai kepada tok guru tersebut.

Kelas Live Trading

Lazimnya live trading dilakukan pada hari bekerja. Ini adalah antara kelas paling mencabar untuk dilakukan oleh kebanyakan tok guru. Sebab utama saya rasa ialah risiko jumlah kehadiran peserta adalah minimum kerana komitmen kerja di hari bekerja. Tetapi kelebihan kelas live trading ialah tok guru boleh menunjukkan aksi secara live segala buah silat keramatnya. Dari situ, kita boleh menilai kehebatan tok guru tersebut. Tetapi perlu diingat, untung atau rugi sewaktu kelas tersebut juga bukan jaminan untung berterusan selepasnya. Banyak faktor boleh mempengaruhi untung rugi termasuklah buy call yang dibuat.

Support Group

Setakat ini, semua kelas saham ada mempunyai facebook support group. Bagi saya ia sangat penting kerana pembelajaran selama 2 hari tidak menjamin untung / kejayaan. Pembelajaran kadang kala perlu berterusan selama berbulan-bulan sehinggalah anak murid tersebut boleh membuat “fatwa” sendiri kaunter manakah yang bagus dibeli. Adalah mustahil dengan kelas 2 hari, anak murid boleh membuat keputusan kaunter mana yang bagus atau tidak. Mereka perlukan bimbingan dari tok guru untuk menegur dan berkongsi pendapat. Pengalaman tok guru juga penting. Selain itu, dalam facebook group, kita boleh melihat kebenaran buy call yang dibuat oleh tok guru. Dari post-post yang lepas dalam facebook group, kita tahu bahawa kaunter-kaunter yang dipilih oleh tok guru ialah tepat atau tidak. Tetapi jangan mengharap semua kaunter adalah 100% konfirm untung. Tok guru juga meramal berdasarkan ilmu technical analysis dan fundamental analysis. Yang penting majoriti ramalan tepat, bukannya rugi memanjang.

Setakat itulah dulu pendapat saya tentang kelas saham. Tidak semua pendapat saya ini 100% betul, mungkin ada yang tersilap. Kerana saya tidak menghadiri semua kelas yang ada di luar sana. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya memilih dan meneliti sebelum memasuki sesuatu kelas.  Lain orang lain pengalaman. Yang penting kita semua dapat untung memanjang. Itulah sebenarnya matlamat utama jual beli / main saham.

Semoga bermanfaat.

Seminar KAGSS Zamsaham

Seminar KAGSS Zamsaham di PWTC: Bersama kawan yang mempunyai impian yang sama

Sejak meminati saham, saya mulai melaburkan duit untuk menghadiri seminar saham. Teringat kata Dr Azizan Osman di seminarnya, pelaburan dalam ilmu, memberikan pulangan tanpa had.

Ya betul. Selagi mana ilmu itu adalah relevan. Ilmu saham tetap relevan, selagi mana Bursa Malaysia wujud, selagi mana pasaran saham wujud.

Saya tidak pernah terbayang sepanjang hayat saya, bahawa saya akan memahami ilmu Analisa Teknikal Saham (Technical Analysis). Alhamdulillah, ini merupakan nikmat dari Allah swt. Mana mungkin saya akan memahami ilmu ini jika hanya sekadar menggoogle dan mengharapkan ilmu percuma dari wikipedia dan belas ihsan google.

Bersama Zamsaham

Berpeluang bergambar dengan En. Zamsaham

Kenapa saya menghadiri kelas Zamsaham? 

Tidak dinafikan, kebanyakan kelas saham sekarang muncul umpama cendawan. Bahkan lebih banyak dari cendawan. Ada yang mempunyai pengalaman melabur saham setahun dua sudah mula membuat kelas saham. Bagi saya tidak salah, asalkan bukan ilmu sesat yang di ajar. Harganya hendaklah berpatutan dengan track rekod pulangan yang diperolehi.

Kebanyakan kelas mengajar tentang perkara yang sama iaitu Teknikal Analisis. Sebab itulah saya tidak berminat menghadiri semua kelas yang ada di Malaysia, memandangkan isi kandungan tetap sama sahaja. Kecuali mereka menawarkan suatu kelainan dan mempunyai penjelasan yang logik disebaliknya.

Ilmu Technical Analysis saham ini adalah ilmu universal. Ianya boleh diaplikasikan dalam forex trading, FCPO (Future Crude Palm Oil), dan mana-mana pasaran hadapan, samaada di pasaran saham Malaysia atau seluruh dunia.

Cuma saya tertarik dengan Zamsaham, jika di google, beliau antara orang yang banyak menulis tentang pelaburan saham. Berkongsi ilmu di blognya. Apa yang di ajar juga merupakan dari pengalaman yang dilalui “sepak terajang” di bursa Malaysia.

Saya lebih berminat menghadiri kelas seseorang jika mereka “mudah berkongsi ilmu” di luar kelas tanpa berkira-kira. Contohnya menulis di blog, menulis buku dan memberikan sedikit nota-nota dan tips percuma. Terdapat juga mereka terlalu berahsia ilmu kecuali dengan menghadiri seminar tertutup mereka. Dah la tertutup, tiada nota diberikan, makan minum di seminar pun tidak diberi. Bagi saya, ilmu teknikal analysis ini adalah suatu terlalu teknikal, jika tiada nota maka amat susah untuk difahami. Jika membayar beribu-ribu, tiada nota, makan minum diberikan, itu adalah suatu perkara yang pelik.

IMG_2832

Nota yang sangat berharga dari kursus Zamsaham

IMG_2834

Diari Invest Saham. Penting untuk catitan. Hanya yang terbaik dari Zamsaham

Setakat ini, saya telah menghadiri sebanyak 5 kelas saham. Beribu-ribu sudah dilaburkan untuk kelas ini.

Adakah berbaloi? Jika mahu diukur dari pulangan saham yang diperolehi masih tidak cover lagi kos kelas yang dihadiri.

Dimanakah silapnya?

  1. Silapnya ialah apabila kita tidak belajar hingga faham betul-betul sebelum melabur.
  2. Membeli saham berdasarkan ikut-ikutan semata-mata dan malas membuat catitan dan sedikit kajian.
  3. Tidak ikut betul-betul jejak langkah tok guru. Jika tok guru ajar supaya menjadi “investor” jangan pula kita gunakan ilmu beliau untuk menjadi “trader”. Jika kita pergi kelas trader, jangan pula kita guna ilmu untuk jadi “investor”. Kesimpulannya, ikut seketul-seketul jejak langkah tok guru yang telah berjaya, insya Allah akan berjaya.
  4. Market Malaysia ada turun naik, jika sudah beli saham,  ia akan mengalami fasa correction dan consolidation. Selagi mana tidak melanggar emergency exit, maka boleh disimpan, dengan syarat company adalah bagus dan pembelian hendaklah dibeli pada titik harga yang betul. Bukan dipucuk-pucuk. Setakat ini saham yang saya beli sudah pun naik, tetapi turun semula. Agak sukar untuk mengetahui bila perlu jual dan ambil untung.

Apa pun, kerugian dengan ilmu dipelajari tidaklah banyak. Saya rasa, jika saya melabur tanpa ilmu, sudah pasti melingkup segala duit pelaburan saya.

Oleh kerana terdapat banyak kelas saham muncul sejak 6 bulan ini. Saya sarankan jika pelabur yang masih newbies, zero knowledge hendaklah membuat sedikit kajian tentang penceramah yang akan mengajar kelas saham. Tidak semua mempunyai duit yang banyak untuk pergi setiap kelas saham. Saya rasa kelas Zamsaham adalah lain dari yang lain kerana beliau mendidik kita menjadi “investor” dan tidak menggalakkan menjadi agresif trader.

Terdapat juga di wall facebook mengutuk Zamsaham. Saya rasa ini adalah kurang adab dalam erti kata berlapang dada menerima sebarang kelainan. Malangnya kaki mengutuk juga adalah menggunakan ID facebook yang agak palsu.

Terdapat juga yang menggunakan bukan nama sebenar untuk menarik orang ramai menghadiri kelas saham. Sikap tidak telus seperti ini adalah petanda bahawa kelas / seminar mereka perlu dijauhi.

Terdapat ramai pengajar saham yang bagus, menggunakan nama yang betul, telus dan jujur selain zamsaham. Contohnya Faizal Yusup, En. Ahmad Rosdi. Tidak semestinya semua perlu menghadiri kelas zamsaham, sesiapa berhak memilih dengan siapa mereka mahu belajar. Tetapi janganlah terlebih menghina orang lain.

Di dalam pasaran saham, satu perkara sahaja yang penting iaitu “untung mengatasi kerugian, dan kerugian hendaklah minimum”. Itulah matlamat sebenar. Tidak kira ilmu pencak silat atau kungfu apa sekalipun yang digunakan, jika untung tidak diperolehi secara konsisten, maka tiada gunanya juga.

Walaupun saya merupakan peserta kelas zamsaham, saya juga mengikuti group facebook saham yang lain. Akan tetapi, pegangan utama saya ialah ilmu yang diajar oleh Zamsaham. Saya mengikuti group facebook saham lain supaya mendapat info-info tambahan untuk menguatkan lagi asas ilmu yang ada.

Insya Allah dimasa hadapan saya akan berkongsi tentang kelas FCPO yang saya hadiri. Setakat ini saya telah berjaya memperolehi sedikit keuntungan dari berjual beli FCPO. Saya rasa ingin sangat berkongsi tentang perkara ini kerana ianya sangat berpotensi untuk menjana keuntungan (dan juga kerugian jika tiada ilmu).

Sekian terima kasih.