Sahabat yang banyak mengajar erti pelaburan

Pada 16 Jun 2017, beliau telah meninggalkan dunia ini. Setelah hampir 6 bulan menderita sakit.

Beliau merupakan sahabat terbaik saya setakat ini. Saya mengenali beliau sejak dari matrikulasi. Jika dikira tempoh persahabatan ialah lebih 15 tahun. Kami sering berbincang, berborak-borak sejak dari mirc, yahoo messenger, facebook mesenger. Jika ada masa, saya berjumpa dengan nya.

Beliau juga yang memperkenalkan saya dengan dunia pelaburan. Kami banyak belajar dan berbincang, dari pelaburan pelik-pelik sehinggalah yang mencabar. Dari Dinar Iraq 🙂 (waktu itu kami masih jahil). Kemudian gold (physical gold) kerana beliau orang yang menitikberatkan isu syariah dan saham.

Kami mempunyai impian, angan-angan dan matlamat kewangan yang sama. Menjadi kaya, menjadi pakar dalam bidang saham dan seterusnya berkongsi ilmu kepada orang ramai.

Beliau juga yang banyak membaca tentang analisa teknikal lebih awal dari saya,  kerajinan beliau mempelajarinya sangat saya kagumi.

Sehinggalah tahun 2015, waktu itu saya mula menghadiri kelas saham bersama beliau dianjurkan oleh Team Zamsaham. Teringat kata-kata beliau setelah kelas saham tamat “Jom bergambar dengan Zamsaham, rugi kalau bayar mahal-mahal tapi tak bergambar”. Betapa bersungguhnya dan bersemangat beliau.

Untung rugi adalah lumrah pelaburan, saya pun pernah rugi & beliau juga rugi. Kami tidak pernah putus asa, kami ubah strategi, join pelbagai group untuk menimba ilmu.

Kami tidak pernah putus berborak melalui fb. Boleh dikatakan setiap hari, setiap malam. Berbincang kaunter-kaunter, berbincang tentang ilmu teknikal analisis.

Sejak bulan Januari 2017, beliau sudah tidak sihat, maka beliau mula menyepi.

Saya tetap belajar sedikit demi sedikit. Bila beliau merasa sihat, saya kongsikan apa yang saya pelajari.

Beliau juga yang memperkenalkan kepada saya buku “Volume Price Analysis” oleh Anna Coulling.

Boleh dikatakan apa yang saya kongsikan di dalam website ini juga adalah ilmu yang diajar atau dikongsi oleh beliau.

Kali terakhir saya menemui beliau seminggu sebelum pemergian beliau.

Beliau masih ceria, saya tetap melayan beliau seperti seorang sahabat yang sihat dan ceria. Saya tidak teragak-agak berbincang tentang saham dan berborak kosong.

Setelah pemergian beliau, saya mula merasa sangat sunyi. Tiada sahabat untuk berbincang.

Saya melihat beliau dikafankan. Saya turut solat jenazah dan menyaksikan beliau dikebumikan.

Tetapi buat masa ini, secara tidak sedar, saya masih tidak boleh menerima hakikat pemergian beliau.

Seringkali saya ingin menekan butang fb mesenger dan berborak dengan beliau. Asalkan status mesej saya “seen” pun cukuplah.

Saya akur, saya masih dalam “denial state”. Biasanya keadaan ini akan reda suatu hari nanti.

Buat masa ini saya masih tidak bersemangat untuk menulis entri seterusnya.

Sebelum ini sudah pun saya draf sedikit post terbaru.

Insya Allah saya akan kongsikan entri terbaru setelah kesedihan ini berlalu.

Harap pembaca dapat doakan agar arwah Dr. Ahmad Taqiuddin Zakaria di rahmati Allah swt. Diberikan tempat tertinggi di syurga.

Saya cemburu dengan pemergiannya. Sungguh mulia beliau dijemput pada 10 Ramadhan terakhir, pada petang Jumaat.

Sekian terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Post Navigation