Ilmu Technical Analysis

Ilmu Technical Analysis

Alhamdulillah,

Sudah hampir 7 bulan saya mula mengenali saham. Suatu ketika dahulu tidak pernah terlintas di hati akan memahami ilmu analisis teknikal. Ilmu ini tidak pernah menarik minat saya. Bahkan saya merasakan ilmu ini adalah suatu ilmu yang terlalu kompleks.

Kursus pertama dihadiri sudah cukup membuatkan saya berasap kepala otak. Ini kerana saya tidak bersedia dengan ilmu secara umum tentang teknikal analisis.

Seorang kawan saya, ingin menghadiri kursus bernilai RM2500. Beliau bertanya kepada saya tentang ilmu teknikal analisis.

Saya memberi amaran kepada beliau, bahawa pergi dengan otak kosong adalah merbahaya dan merugikan, kerana ilmu itu terlalu teknikal. Jika nota tidak diberi dalam kursus, maka akan bertambah parahlah. Sebaiknya jika hendak pergi kursus bersifat advanced, hendaklah membuat persediaan. Jika tidak harga yang dibayar tidak berbaloi dengan kefahaman sekerat-kerat sahaja.

Saya mencadangkan beliau membaca buku “I Love Stocks” pada post yang saya tulis sebelum ini. Tetapi, masalahnya beliau tertidur dan kepeningan apabila membaca buku tersebut. Perkara yang sama berlaku pada saya sebenarnya. Pada awal-awal mengenali saham, saya telah membaca buku yang ditulis oleh penulis dari luar negara iaitu “Technical Analysis for Dummies”. Saya menyangka buku ini adalah paling mudah difahami. Setelah hampir 2 minggu membacanya, saya rasa hampir juling biji mata. Faham pun tidak, sudahla tiada gambar berwarna. Penjelasan panjang lebar membuatkan saya lebih keliru. Akan tetapi, buku I Love Stocks adalah buku yang mudah untuk saya fahami.

Untuk membantu kawan saya tersebut, saya menerangkan dengan cara mudah.

  1. Ilmu “Technical Analysis” adalah ilmu untuk meramal pergerakan harga saham.
  2. Ia bersifat universal, boleh diaplikasikan dalam trading mana-mana saham, pasaran hadapan, gold, silver dan forex.
  3. Konsep asas ialah “disebalik harga ada cerita”, ataupun “price discount everything”. Bermakna dari pergerakan harga, kita boleh meramal sesuatu telah berlaku di dalam syarikat-syarikat saham tersebut.
  4. Dalam teknikal analisis, terdapat “indicator” (indikator-indikator) seperti candlestick, moving average, MACD, Stochastic, RSI dan macam-macam lagi. Sebenarnya terdapat beratus-ratus indicator. Tetapi fungsi mereka secara umumnya ialah untuk menunjukkan Trend pergerakan saham, status harga samaada sudah terlalu tinggi atau terlalu rendah untuk dibeli. Tiada indikator “ajaib” yang boleh menentukan 100% tepat apa yang bakal terjadi esok. Tetapi kebiasaannya harga akan mengikut pattern tertentu dan boleh dijangka pergerakan melalui indikator.
  5. Indikator dalam analisa teknikal terdapat yang bersifat “leading” tetapi banyak false signal, manakala yang “lagging” bersifat lebih confirm, tetapi lambat. Maka perlu diketahui bila perlu digunakan setiap indicator ini. Tidak semua sesuai digunakan pada setiap masa.
  6. Indicator memberitahu secara umumnya: buy signal (patut beli) samaada strong buy signal atau weak buy signal. Ia juga memberitahu sell signal (patut jual) samaada strong sell atau weak sell signal. Maka jika mempelajari setiap indicator, hendaklah sentiasa bertanya pada diri ini, apakah rupa buy / sell signal. Sebenarnya ia sangat mudah.
  7. Ayat standard mana-mana dalam ilmu technical analysis ialah: “Harga hendaklah diconfirmkan dengan indicator-indicator lain”, maknanya tiada satu indicator yang betul-betul perfect. Maka gabungan indicator tertentu mungkin memberikan analisa yang lebih tepat.
  8. Ilmu fundamental analisis juga penting. Tetapi menggunakan ilmu fundamental analisis semata-mata mengundang bahaya apabila “entry” harga belian saham tidak dianalisa menggunakan Technical Analysis. Ia menyebabkan terbeli saham pada pucuk-pucuk / puncak-puncak kenaikan dan menyebabkan floating loss menunggu puncak-puncak yang lebih tinggi seterusnya. 
  9. Ilmu teknikal analisis lebih cepat pergerakannya dari berita-berita baik saham. Biasanya harga sudah memuncak barulah berita baik tentang sesuatu kaunter saham akan keluar. Oleh itu, sebaiknya analisis berita tersebut. Majoriti saham sebenarnya sudah berada di pucuk dan menunggu untuk jatuh harga jika berita sudah keluar.
  10. Tiada teknik “ajaib” yang tepat 100%. Jika tercari-cari indicator yang tepat 100%, confirm untung setiap masa adalah suatu perkara yang mustahil. Tetapi hendaklah konsisten dalam menggunakan gabungan indicator-indicator. Jangan duk tukar-tukar teknik. Jika konsisten, kita akan dapat menganalisa untung atau rugi. Jika dalam 10 belian saham, terdapat 9 untung dan 1 rugi. Maka teknik itu hendaklah dipakai secara konsisten untuk menjamin keputusan yang sama.

Sebenarnya ilmu analisis teknikal adalah sangat mudah difahami. Untuk memahirkan diri, latihan perlu dibuat secara konsisten setiap hari. Saya masih dalam proses belajar dan belajar. Setiap hari saya melihat carta saham, saya akan belajar sesuatu yang baru walaupun sedikit. Saya bersyukur kerana telah belajar dan memahami ilmu analisa teknikal. Semua ini adalah rezeki dari Allah swt.

Sekian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Post Navigation