Teringat suatu ketika dahulu. Ketika saya masih newbies berhingus dalam pasaran saham. Sebenarnya sekarang masih newbies, cuma hingus dah pekat sedikit. Saya tidak pernah mengenal erti corretion. Saya ingatkan kalau saham tu naik, terus naik mencanak ajo. Marubozu, marubozu dan jadilah marubodo entah sampai bila. Itulah persepsi. Dengan semangat membara yang ditiup oleh penganjur kelas saham. Tidak pernah disebut testimoni anak muridnya melingkup, tetapi segala testimoni semuanya dah ke langit dan kaya raya.

Jika saham tiada correction, boleh pecah monitor komputer.

Hakikatnya tidak!. Jual beli saham sama seperti bisnes. Bahkan kadang kala ianya lebih “kotor” dari bisnes. Penuh dengan manipulasi pump and dump. Di dalam bisnes, kita juga terbeli barangan yang tidak berkualiti,  maka kita kerugian. Begitu juga, jika kita membuat bisnes, kita boleh rugi, untung, melingkup dan bangkit semula (modal kecil) dan paling ditakuti melingkup dan terus tidak bangkit. Jenis melingkup terus tidak bangkit ialah menggunakan modal besar dan margin sampai maksimum. Sekali kena hentak, bukan takat hilang 100% modal, bahkan kena top up berhutang dengan investment bank pulak. Biasanya yang tidak bernasib baik inilah akan serik, bila dengar perkataan saham pun pening.

Pada 7 April 2017, KLCI masih lagi mengekalkan struktur UPTREND, pergerakan masih dalam julat 1758-1738. Terdapat beberapa cubaan untuk memecahkan support dengan ekor candlestick mencucuk support sehingga indeks percah 1738. Tetapi pada akhir market ditutup, indeks mengekalkan dalam julat ini. Ini adalah lumrah permainan dalam pasaran saham. Ia menduga emosi trader. Agak sukar untuk mengetahui samaada support akan bertahan atau tidak. Selagi mana harga tidak ditutup di bawah garisan Kijun Sen atau dibawah julat harga, maka sebarang penurunan harga dikira sebagai minor correction. Adakah ia mempengaruhi portfolio kita? Ya, jika kaunter kita bergerak seiring dengan indeks. Tidak jika kaunter yang kita beli bersifat melawan arus dan ada sentimen bagus.

Bulatan hijau, minor corrrection.

Kenapakah indeks KLCI mengalami correction? 

Di dalam mana-mana kelas saham dan youtube, struktur market bergerak secara zig-zag. Iaitu turun naik turun naik berulang-ulang kali. Bahkan jika dilihat dari perspektif carta bulanan, mingguan, harian, 60 minit, 30 minit, 5 minit; corak pergerakan yang sama juga berlaku. Tetapi apabila dilukis struktur trend, jika ia menepati ciri-ciri uptrend, maka kita boleh menarik nafas lega.

Correction berlaku kerana ia adalah salah satu proses pergerakan yang sihat. Jika tidak berlaku correction, itu paling menakutkan. Boleh jadi pasaran sedang mengalami tahap gila “euphoria”. Ia boleh menjadi berisiko dan sebarang kejatuhan berlaku sudah pasti sangat laju. Pernah suatu ketika tahun 2014, pasaran tengah gila. Banyak kaunter menghijau. Ada orang meramalkan indeks KLCI boleh pergi 2000 mata.  Tetapi, suatu hari, ada satu kaunter saham, DSONIC namanya. Sekali sahaja market buka, terus menjunam 30%. Oh, jeng kreng siapa yang beli dengan kuantiti yang banyak bahkan lebih teruk apabila menggunakan margin (hutang) dan bermain kontra. Pembelian boleh dianggap pada pucuk sangat merbahaya. Jika yang membeli pada awal-awal kenaikan pecah awan kumo, akan terselamat. Jika membeli pada retracement / pullback, maka perlu cutloss secepat mungkin jika kejatuhan terlalu banyak dalam sehari dan memecahkan support.

Kaunter bersejarah DSONIC

Ada sifu saham mengatakan, untuk terkena candle merah panjang seperti ini tidaklah seringkali berlaku. Ianya jarang-jarang. Betul juga apa yang dia nasihatkan. Tetapi sekali berlaku, habis kaunter lain tengah untung pun dia sapu licin. Tetapi saya suka pandangan sifu agar kita membeli lebih dari satu kaunter supaya risiko boleh dikurangkan ke atas modal kita.

Setelah kejatuhan mendadak DSONIC, ia menyebabkan pasaran menjadi merah menyala, indeks juga jatuh teruk pada awal pagi sampai tengah hari. Ramai cutloss, portfolio menghijau sebelum ini menjadi merah. Bagi newbies, mereka akan panik dan menjual, ada juga pasrah ajo dan terus simpan sampailah bertahun-tahun. Yang berdisiplin akan terus cut loss. Yang sudah menunggu saat correction akan masuk membeli kaunter-kaunter yang membuat minor correction (bukan DSONIC).

Kebanyakan correction berlaku tanpa apa punca yang jelas. Ramai mencari-cari news “apakah berita menyebabkan ia jatuh?”. Sedangkan berita keluar mungkin selepas esoknya. Jadi adalah lebih baik fokus pada carta teknikal sahaja.

Apakah cara mengatasinya? 

Sentiasa ambil tahu pergerakan indeks KLCI sekurang-kurangnya sekali sehari. Tak susah pun, buka carta, tengok harga kat mana. Lagi mudah kalau guna indicator Ichimoku. Di manakah indeks berada. Support terdekat dan resistance terdekat. Ianya boleh jadi penyelamat dan membuka peluang untuk kita. Penyelamat dari kerugian besar apabila kita sudah perasan indeks dah gila dan akan mengalami major correction. Ia membuka peluang besar kerana apabila tempoh correction hampir berakhir (indeks landing atas support dan membuat reversal), banyak kaunter akan melantung dan naik semula.

Pastikan kita monitor portfolio kita. Untuk mengelakkan terkena kejatuhan yang besar, saya cadangkan install apps dalam smartphone KLSE screener yang boleh memberikan bunyi alert jika kaunter yang dibeli jatuh melebihi peratusan yang tidak diingini. Contohnya setkan alert jika harga jatuh 5% atau berapa % dalam sehari ia akan berbunyi. Maka alert akan berbunyi dan kita boleh clear position kita secepat mungkin.

Jangan ikut-ikutan membuta tuli 

Perlu diingat, tahap risk tolerance kita berbanding orang lain tidak sama. Matlamat keuntungan kita juga tidak sama. Ada yang makan-makan sikit tetapi konsisten. Ada mahu full swing sampai patah trend. Ada yang mahu jadi investor dengan hope analysis. Jadi kita perlu tetapkan matlamat sendiri apabila entry sesuatu kaunter. Jika saya, setiap kaunter yang saya entry, sebolehnya saya mahu pegang selagi mana trend masih mengekalkan kenaikan Uptrend. Short Term Swing bagi saya adalah lebih baik. Tetapi jika target telah tercapai lebih awal kerana market menggila dan kenaikan berlaku pantas sekali, maka hendaklah terus jual. Jangan tunggu lagi.

Akhir kata

Correction KLCI adalah pasti berlaku. Intai peluang dan juga monitor portfolio anda.

Bagi newbies seperti saya, diharapkan:

  1. Bermula dengan modal yang rendah!
  2. Belanja sedikit duit untuk beli ebook, pergi ke kelas dan belajar dengan youtube dan google sebanyaknya. Biar faham dulu konsep asas teknikal analisis.
  3. Survey dulu kelas, carilah yang murah dah berkualiti. Ada remiser yang offer kelas percuma (bersyarat buka akaun dan aktif trade) dan bayaran minimum sahaja dengan silibus yang mantap.
  4. Jual beli saham tidak semestinya buat duit sahaja. Kerana rugi itu pasti dan untung belum tentu. Jika untung konsisten melebihi rugi, maka beruntunglah kita.

Sekian. Terima kasih.

Saya memohon maaf kerana agak lama tidak update blog ini. Ini disebabkan motivasi agak menurun dan kesibukan sambung belajar membuatkan ketandusan idea untuk menulis. Akan tetapi, di hati saya, tetap rindu untuk menulis dan berkongsi info secara percuma agar ianya memberi sedikit manfaat kepada newbies seperti saya. Terima kasih kepada beberapa pembaca yang bertanya khabar dan mendorong saya untuk update.

Jika anda ada sebarang pertanyaan / idea untuk saya tulis entry, boleh la hubungi saya dengan mengisi borang ini. Harap jangan tanya soalan berkaitan fundamental analisis kerana saya hanya fokus pada teknikal analisis sahaja. Jangan tanya soalan tahap sifu / masta-masta. Demam saya nak menjawabnya. Saya cuba jawab soalan level-level newbies sahaja. Tapi saya akan rujuk sifu-sifu saya jika dirasakan soalan tu bagus untuk dikongsikan bersama.

Sekilas pandang tentang indeks KLCI

KLCI daily 07 April 2017

Nampaknya KLCI sudah bullish hehehe, sekarang membentuk sideway pattern. Semoga breakout pattern berlaku dan indeks bergerak ke atas. Tetapi, ia juga mungkin bergerak ke bawah. Pastikan monitor portfolio anda dengan menggunakan apps KLSE Screener.

Berdasarkan Indicator Ichimoku Kinko Hyo, trend secara umumnya adalah UPTREND (harga di atas awan, tenkan sen di atas kijun sen, dan future kumo adalah bullish). Akan tetapi walaupun trend utama ialah uptrend, tetapi sekarang harga bergerak melantun-lantun dalam julat 1757-1738 menandakan ia berada dalam fasa consolidation (sideway). Jika mengikut indicator Ichimoku, jika harga closed pada penutup hari di bawah garisan Kijun Sen (garisan biru), maka hendaklah berhati-hati kerana major pullback telah berlaku, dan mungkin major correction akan menyusul.

Buat masa ini, kebanyakan kaunter-kaunter masih membentuk kenaikan. Banyak yang masih melawan arus indeks. Portfolio saya menghijau sedikit walaupun indeks masih merah. Namun itu tidak bermakna kita terus lupa dan mengharapkan ia terus naik, cut loss dan trailing profit perlu dijaga berdasarkan chart kaunter yang dibeli.

Apakah setup kegemaran anda? 

Sepanjang saya belajar tentang ilmu saham, saya masih merasakan belum cukup mahir lagi. Saya masih ditahap newbie. Pelbagai setup telah saya mencuba termasuklah setup:

  1. Sistem Saham : bagus untuk market bullish dan buy on breakout!
  2. Saham itu Seni Duit : banyak jurus-jurus hebat dari pelbagai aspek
  3. Naked chart + Chart Pattern + Price Action: bagi yang tak suka chart bercelaru dengan banyak indicator.
  4. Ichimoku Kinko Hyo: sekali imbas sudah tahu “jantan betina” & follow ajo trend.
  5. TAVA: intraday dan agresif trader!
  6. Channelist + Contrarian: Entry setepat sniper

Pada mulanya, saya bermula secara buta tuli belajar dan bergantung pada indicator semata-mata. Apabila saya perasan, indicator banyak yang lagging saya mula mempelajari volume price analysis (teori sindiket) ataupun volume spread analysis untuk memahami teori sindiket berdasarkan supply and demand. Saya berubah dari menggunakan indicator kepada anti indicator. Setelah beberapa lama membaca dan membandingkan antara setup tertentu. Sebenarnya semua setup adalah sama. Ada yang mempunyai kelebihan tersendiri dan telah diubahsuai mengikut market bursa malaysia. Ada yang bersifat universal boleh digunakan dalam mana-mana instrument pelaburan seperti indicator Ichimoku Kinko Hyo dan teknik channelist.

Adapun, SiSD terdapat setup indicator yang telah diubahsuai parameter tertentu agar sesuai dengan market bursa malaysia. Teknik yang saya kagum dalam SiSD, tapi saya tak berjaya nak kuasai ialah Jurus Sauk dari bawah dengan membaca volume. Saya akui, menyerah kalah kalau nak guna teknik ini.

Manakala group Channelist & Contrarian menitik beratkan penggunaan channel. Ini merupakan ilmu agak baru bagi saya kerana setakat ini tidak banyak sumber dari internet dan ebook menceritakan teknik channel secara detail. Saya mendapati, teknik mereka dapat mengenalpasti kaunter yang baru bermula uptrend. Dan ia juga tidak berisiko tinggi kerana menitikberatkan cut loss jika harga ditutup di bawah paras channel (support). Entry mereka juga lebih awal dan lebih yakin.

TAVA juga bagus, tetapi ianya lebih kepada intraday trading berdasarkan timeframe 30-minit, tetapi boleh digunakan juga untuk TF daily. Signal juga boleh dikesan awal jika menggunakan TF-30 min. Cuma isunya ialah nak cari kaunter yang mana akan naik.

Apa pun setup anda gunakan; isunya bukan bagus atau tidak. Tetapi hendaklah tahu secara mendalam setiap indicator yang digunakan. Jika kita mencipta gabungan indicator baru, maka kita bertanggungjawab untuk mempelajari, membuat testing atas setup yang kita cipta.

Pada pendapat saya, belajar ajolah dan guna setup yang telah terbukti berjaya, dengan syarat kita memahami kelebihan dan kelemahan setup tersebut.

Kenapa saya suka Ichimoku Kinko Hyo?

Secara peribadi, saya suka setup indicator Ichimoku Kinko Hyo. Seperti saya jelaskan sebelum ini, indicator ini adalah lengkap. Ibarat syampoo 5-in-1. Semuanya sudah lengkap. Indikator ini bersifat trend following, matlamat utama ialah berjaya “tangkap” dalam 60% trend utama. Kelebihan utama indicator ini ialah menjimatkan masa untuk scan kaunter secara visual. Sekali pandang sudah tahu Trend, Support & Resistance, Volatility, Breakout Entry. Boleh dikatakan dah cukup lengkap. Bahkan ia boleh digunakan dalam pasaran lain seperti forex dan komoditi (futures market). Sebelum ini saya “take for granted” sahaja penggunaan Ichimoku. Setelah saya dah putus asa dengan pelbagai setup dan rujuk kembali ke ichimoku. Saya lebih serasi dengannya dan saya mula mendalami setiap formula ichimoku dan juga fungsi-fungsi komponen indicator tersebut. Saya cukup terkejut, banyak lagi yang saya tidak fahami tentang indicator ini selama ini. Patutlah saya tidak yakin dengannya.

Sebagai contoh Kaunter Bonia 

Saya telah membuat pembelian seawal RM 0.61 sen, menggunakan teknik Ichimoku. Sebenarnya ia adalah buy call dari free group Channelist. Tetapi saya validate semula entry menggunakan ichimoku. Nampak kan persamaannya? Guna setup berbeza, tetap dapat entry. Cuma sebenarnya geng channelist rasanya beli dari bawah sikit. Dan mereka telah jual dan beli semula. Itu kelebihan mereka. Tetapi saya lebih suka beli dah hold jika ia masih ada potensi untuk naik. Kerana saya penat nak study kaunter setiap malam dan melompat-lompat dari kaunter ke kaunter.

Timeframe: Daily

Signal buy cukup cantik oleh Ichimoku

 

Perhatikan candlestick dalam kotak

Antara sebab saya masih hold lagi walaupun Bonia telah membuat kenaikan sebelum ini ialah kerana malas nak jual, tamak nak untung lebih lagi. Dan candlestick yang jatuh masih bertahan atas support channel dan membentuk beberapa ketul candlestick sideway. Setelah candle hijau close atas kotak tu, ia terus gap up dan close atas garisan kijun sen. Saya mengharapkan harga terus bertahan dan terus naik sehingga ke target price.

Timeframe Weekly

Agak menarik signal weekly.

 

Personal target saya ialah RM0.74, jika harga bertahan, seterusnya target RM0.78. Tu jika ada rezeki, jika takde, ke longkang juga jawabnya. Biasalah main saham, kalau tak rugi tu tipu namanya.

P/s: Ini bukan buy call dari saya. Jika anda mahu beli, maka saya tidak bertanggungjawab atas kerugian anda. Ini adalah perkongsian ilmu agar kita boleh aplikasikan untuk mencari kaunter lain. Mungkin esoknya harga ke longkang. Yang pasti, saya hanya untung jika saya berjaya jual pada harga lebih tinggi. Sila double check dengan setup anda.

Beli sikit ajo. Tahap newbie lagi. Duit selebihnya beli kaunter lain.

Apa ingin saya jelaskan di sini carilah setup yang anda rasa serasi dengan mata anda. Tak kisah sebenarnya nak letak sampai 20 indicator sekalipun. Asalkan anda rasa selesa. Saya sekarang lebih terbuka menerima dan tidak lagi anti pada sebarang indicator. Bagi saya semuanya bagus. Cuma kita kena tahu cara menggunakannya. Saya berazam fokus utama belajar lebih detail tentang Ichimoku dan mengabungkan ilmu channelist dalam analisa. Yang penting mata saya nampak lebih jelas trend dan projection pergerakan harga.

Pun begitu, saya tidak nafikan, setup lain juga bagus dan saya pernah untung apabila menggunakannya. Ada juga saya rugi dengan Ichimoku apabila market tidak bagus.

Setakat inilah perkongsian saya. Terima kasih pada pembaca yang membaca dan hubungi saya. Insya Allah saya akan berkongsi lagi ilmu beberapa cara nak pilih kaunter (saya masih belajar lagi ilmu pilih kaunter).

Akhir pesanan saya, bermula lah dengan modal rendah dahulu sampailah sudah mahir! Dan jangan putus asa untuk terus belajar!

Sekian terima kasih.