Kepentingan Indeks KLCI

Pernahkah anda menghadapi situasi ini?

Tatkala Indeks KLCI menghijau. Buy call sungguh meriah di sana sini. Samaada dalam group telegram berbayar atau percuma. Maka anda sungguh rasa teruja. Tanpa berfikir panjang, anda membeli satu kaunter. Risau juga nanti terlepas bas. Kaunter tu dijangka terbang ke langit ke tujuh. Setelah beberapa hari, tak sempat pun harga naik sampai 5% untung. Indeks KLCI mengalami sedikit correction. Normal laa tu kan!. Takkan nak naik terus menerus tanpa henti.

Pada waktu yang sama, portfolio mula merah, jatuhnya lebih laju dari indeks KLCI. Alahai….

Nak jual sayang….Maklumlaa, otai-otai, sifu-sifu, masta-masta semuanya cakap FA kaunter ni bagus. Bagus tahap gaban.
Nak simpan tapi dah rugi….
Rugi pulak dah sampai 3%…4%…5%. Perut mula sakit memikirkan rugi tu. Tidur malam tak lena.
Kalau invest RM5000, takdelah terasa sangat.
Ni hentak habis-habis duit simpanan. Dekat RM100k…Kalau 5% rugi, dah dekat RM5000 floating loss. Tu dah kira gaji berapa bulan.
Maka, tanpa berlengah-lengah lagi, kerana tak tahan, maka dijualnya ketika KLCI merah.
Tapi sayangnya, lupa nak lihat indeks KLCI tu kat mana.
Setelah menjual kaunter tersebut waktu pagi, indeks KLCI ditutup tinggi sedikit berbanding harga buka. Paling jilake apabila melihat candlestick terakhir ialah Hammer. Siap harami pattern + hammer & Gap up pulak tu!. Adusss..
Esoknya kaunter yang dijual tu melambung naik (technical rebound) bersama-sama KLCI sebanyak 5%, kemudian menyambung kenaikan lagi sebanyak 3% hari berikutnya.

Sebenarnya, saya sudah terkena beberapa kali situasi seperti ini.

Pada insiden Brexit, saya silap kerana menjual, sepatutnya saya membeli sehabis-habisnya. Sedangkan Brexit itu adalah tidak relevan langsung dengan pasaran Bursa Malaysia.

Berikut adalah pengajaran untuk diri saya berdasarkan situasi di atas..

Adakah indeks KLCI itu penting?

Ada sifu pernah berpesan, bahawa usah peduli sangat KLCI tu. Jika kaunter tersebut bagus, maka ia akan naik juga akhirnya.

Saya separa bersetuju dengan pendapat ini.

Bagi saya, penting untuk melihat indeks KLCI. Penting untuk ambil tahu. Sekurang-kurangnya, kena tahu, samaada pasaran masih mengekalkan trend kenaikan (uptrend), aras sokongan & rintangan terdekat dan sokongan penting untuk mengekalkan uptrend indeks KLCI. Walaupun anda seorang investor untuk long term, short term apatah lagi intraday, indeks tetap relevan. Kerana jika kita ambil tahu tentang indeks, maka peluang untuk membeli “entry buy” yang berkualiti akan menjelma.

Bagi saya, jika indeks KLCI ini tidak penting, sudah pasti ia tidak perlu wujud. Tetapi kenapa ia wujud????

Memang tidak dinafikan terdapat kaunter berkualiti yang melawan arus KLCI. Ia tetap naik walaupun KLCI membuat correction beberapa kali. Tetapi masih penting juga untuk melihat indeks KLCI.

Adakah perlu analisa indeks KLCI secara komprehensif?

Saya mengikuti facebook fan page penulis ebook Sistem Saham. Beliau menganalisa indeks setiap hari sebanyak 2 kali. Tetapi tidaklah terlalu rumit analisanya. Cuma yang bagusnya ialah beliau membuat catatan journal tentang indeks di fan page tersebut.

Berdasarkan buku SISD juga, jika ingin mencari kaunter-kaunter untuk dibeli. Maka indeks KLCI juga perlu dilihat, kemudian diikuti oleh indeks-indeks sektor-sektor. Kemudian barulah dilihat kaunter-kaunter tersebut secara satu persatu menggunakan scanner. Ia dinamakan top down analisis. Penulis SISD juga mengatakan, “mulakan trading saham di waktu musim correction” iaitu tatkala KLCI merah (tetapi masih dalam definisi uptrend atau indeks membuat pullback) maka kaunter-kaunter yang berpotensi dan Fundamental bagus perlu diintai untuk dibeli. Ia bertepatan dengan saranan Warren Buffett iaitu “membeli apabila semua orang takut, dan menjual apabila semua orang tamak”. Maka situasi di atas perlu diterbalikkan iaitu, apabila semua orang riuh rendah membeli, saat itu sepatutnya kita menjual sehabisnya. Tetapi bukan senang untuk berada pada tahap tersebut. Jika senang, sudah pasti semua orang berlari dijalanan terpijak duit-duit.

Mulakan dengan modal yang minimum sanggup kita rugi!

Trading saham adalah aktiviti yang pasti merugikan duit anda. Sebelum fikir untung, maka bayangkan anda konfirm rugi dahulu. Jika rugi, berapakah jumlah kerugian yang menyebabkan anda masih senyum kambing? Jika rugi RM50 ringgit pun dah menangis tekap bantal kat muka. Maka trading saham bukanlah aktiviti pelaburan yang sesuai untuk anda. Mungkin duit tersebut hendaklah dilaburkan dalam ASB atau Tabung Haji sahaja.

Akan tetapi, sebaiknya pelaburan dimulakan dengan modal yang agak rendah iaitu RM5000 atau RM10 000 sahaja. Kerana jika anda telah mahir dan konsisten membuat keuntungan, sudah pasti jumlah ini boleh menjadi nilaian jutaan ringgit dalam masa yang singkat sahaja. Cuma untuk mencapai tahap mahir tu mungkin memakan masa. Sedangkan Dan Zanger mengambil masa 11 tahun melalui sepak terajang trading saham, barulah beliau membuat keuntungan berlipat ganda dalam masa yang singkat sahaja. Inikan pula kita, mahu kaya sekelip mata. Sedangkan candlestick hijau dan merah pun takleh nak beza. Tu belum masuk bab support and resistance. Tercirit rasanya nak lukis garis-garis tu dan trendline bersimpang siur di sana sini.

Strict cut loss / loose cut loss?

Jika tiada cut loss. Maka semua orang berhak untuk trading saham. Kerana tak perlu belajar, beli sahaja mana-mana kaunter dan tunggu sampai ratusan tahun. Tetapi jika terlalu strict cut loss, maka lebih baik tak perlu trading saham, kerana harga pasti akan hentam cut loss point. Saya mempunyai seorang kawan, beliau suka intraday atau sangat short term trading. Masa diperlukan sangat banyak untuk monitor kaunter. Boleh dikatakan setiap 30-minit mahu menatap monitor komputer. Apabila market merah sedikit, kerugian beliau sudah pasti kerap. Tetapi apabila untung, terus cabut lari. Akhirnya “Pi Mai Pi Mai Tang Tu” la juga. Untung ditelan oleh rugi. Bahkan rugi kerana terdapatnya brokerage fees. Yang pasti, remiser saham kenyang buntal dengan kaki kontra seperti ini. Cut loss point bukanlah ditentukan sebanyak mana kita sanggup rugi semata-mata, tetapi entry yang terrrrrbaik itu wajib terlebih dahulu barulah diikuti dengan berapa banyak kita sanggup rugi + pastikan point cut loss itu adalah berdasarkan teknik yang betul.

Silap masuk, konfirm silap keluar!

Entry buy berkualiti, maka exit sudah pasti berkualiti. Kerana sebelum entry, sudah pasti dikira nisbah risiko: untung, harga perlu dijual dan harga perlu cut loss. Jika entry hentam kromo.
Sudah pasti akan bertukar menjadi long term investor. Awalnya target nak hold seminggu, tapi terlekat hold sebulan dua hahaha. Saya akui banyak kali terkena situasi seperti ini.

“Kaunter lawan arus indeks KLCI”

Kebanyakan kaunter berkualiti, yang memasuki fasa uptrend adalah bergerak secara harmoni dengan indeks KLCI. Secara normal, ia akan jatuh apabila indeks merah membuat correction. Tetapi ada kaunter yang berkualiti ini sudah naik dengan laju tatkala KLCI dijangka jatuh pada support. Biasanya sebelah pagi atau petang, kaunter-kaunter ini bergerak naik menghijau, walaupun KLCI masih merah. Kaunter ini boleh dikatakan melawan arus. Kaunter seperti inilah yang patut diintai sewaktu indeks merah.

Akan tetapi, terdapat juga kaunter yang jatuh apabila indeks merah, jatuh juga apabila indeks hijau. Biasanya kaunter ini adalah kaunter-kaunter yang masih di fasa downtrend. Sebaiknya
dielakkan membeli kaunter ini, kecuali anda tahu peringkat accumulation sudah mahu berakhir. Setakat ini saya masih belum mahir membaca volume di mana smart money membuat belian besar-besaran kaunter tertentu. Dan petanda akhir peringkat accumulation.

Di sini saya sertakan gambar “permainan-permainan” atau wayang kulit indeks KLCI apabila menghampiri support. Tatkala ia menghampiri support, ketakutan pelabur boleh dikatakan berada pada aras maksimum. Semua risau jika support pecah dah KLCI memasuki fasa downtrend. Group-group telegram juga senyap sunyi dari buy call. Akhirnya indeks menghijau semula sebelah petang dan ditutup hampir dengan harga buka. Esoknya pulak naik. Lebih mengejutkan, kaunter-kaunter lain dah bergerak terlebih dahulu. Jika anda berada pada situasi ini, carilah semula kaunter-kaunter berkualiti berdasarkan sektor yang tengah rally. Sama-samalah kita mencari. Sudah pasti ada peluang di situ.

Reaksi indeks KLCI apabila menghampiri parasa support (dalam bulatan hijau). Candlestick terbentuk berbentuk hammer, harami pattern dan gap up. Sekarang boleh dikatakan KLCI masih uptrend tetapi dalam proses consolidation (dalam awan ichimoku). Untuk kenaikan yang lebih mantap, indeks perlu keluar dari awan dan sekaligus melepasi garisan merah (tenkan sen) dan garisan biru (kijun sen). Retracement juga telah jatuh pada golden ratio 61.8% para fibonacci.

Reaksi indeks KLCI apabila menghampiri parasa support (dalam bulatan hijau). Candlestick terbentuk berbentuk hammer, harami pattern dan gap up. Sekarang boleh dikatakan KLCI masih uptrend tetapi dalam proses consolidation (dalam awan ichimoku). Untuk kenaikan yang lebih mantap, indeks perlu keluar dari awan dan sekaligus melepasi garisan merah (tenkan sen) dan garisan biru (kijun sen). Retracement juga telah jatuh pada golden ratio 61.8% para fibonacci.

Itulah perkongsian saya berkenaan indeks KLCI. Jika terdapat pendapat-pendapat dari sifu-sifu yang bercanggah dengan pendapat saya. Maka buanglah tepi pendapat saya. Kerana saya masih newbies. Jika bermanfaat, semoga para pembaca memperolehi keuntungan.

Sekian terima kasih.